Mungkin tiada lagi sekatan Covid-19 di England - Utusan Malaysia

Mungkin tiada lagi sekatan Covid-19 di England

SEORANG penduduk memakai pelitup muka semasa berjalan di luar pusat beli belah Bullring di Birmingham, tengah England. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menolak untuk melaksanakan semula sekatan Covid-19 di England pada masa akan datang selepas beliau mengumumkan hampir kesemua peraturan bakal dilonggarkan tidak lama lagi.

Sebelum ini, Johnson menggambarkan pelonggaran sekatan Covid-19yang  akan dilaksanakan pada 19 Julai ini sebagai langkah berhati-hati dan tidak boleh ditarik balik. 

Malah, beliau turut mengakui usaha menangani pandemik Covid-19 masih jauh dan tidak akan berakhir dalam tempoh terdekat.

Tegas beliau, ini bukan masanya untuk bergembira dan sebarang situasi tidak boleh dipandang ringan.

Menurut Johnson, sekiranya varian baharu menembusi kekebalan vaksin Covid-19 sedia ada atau kes kematian meningkat selepas musim panas maka kerajaan akan mengambil segala langkah perlu untuk melindungi penduduk.

Pemimpin itu turut menegaskan rancangannya merupakan pendekatan yang seimbang dan berhati-hati.   

Katanya, keupayaan untuk mengakhiri sebahagian besar sekatan Covid-19 di England adalah disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi yang dilaksanakan di negara ini.  

Bagaimanapun, beliau memberi amaran kes jangkitan Covid-19 diramalkan meningkat sehingga 50,000 kes sehari pada akhir bulan ini.

“Sekiranya kita tidak melakukannya sekarang apabila banyak usaha dilakukan menerusi program vaksinasi untuk memutuskan rantaian Covid-19, bila kita akan dapat kembali kepada kehidupan normal ?

“Kita menghadapi risiko sama ada melonggarkan sekatan pada masa yang sukar ketika virus itu mempunyai kelebihan pada musim sejuk atau sekali lagi menangguhkan semua ini sehingga tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, Johnson turut mengesahkan akan melonggarkan beberapa sekatan sosial dan ekonomi yang dilaksanakan di England. 

Antara sekatan tersebut adalah tiada lagi pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan bekerja dari rumah.

Katanya, peraturan melarang berhimpun lebih enam orang dari isi rumah berbeza juga akan dimansuhkan.

Menurut Johnson, beliau menjangkakan langkah terakhir akan diteruskan seperti dirancang pada 19 Julai ini.

Kesemua perkara itu akan disahkan pada 12 Julai selepas meneliti semula data terkini.

Johnson menetapkan dasar itu untuk England, namun ia tidak tertakluk untuk Scotland, Wales atau Ireland Utara. – AGENSI

 

APA YANG DIBENARKAN SELEPAS 19 JULAI 

* Majlis perkahwinan secara besar-besar

* Semua premis perniagaan dibenarkan beroperasi

* Perhimpunan secara besar-besaran

* Tiada had jumlah individu ditetapkan untuk melawat rumah jagaan  

* Orang ramai tidak lagi diarahkan untuk bekerja dari rumah

* Kelab malam dibenarkan beroperasi 

* Penduduk tidak diwajibkan untuk memakai pelitup muka  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya