JAKARTA: Seorang penduduk tidak menyangka dapat membawa pulang sebuah mesin basuh sebagai hadiah selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Garut, Jawa Barat.
Lapor SuaraJabar, penduduk itu memenangi hadiah cabutan bertuah selepas menghadiri program vaksinasi Covid-19 di daerah Sukaresmi, Garut semalam.
Hadiah mesin basuh itu disampaikan oleh ahli Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Garut, Yudha Puja Turnawan kepada penduduk tersebut.
Dilaporkan, beberapa penerima vaksin turut memenangi hadiah lain berupa barangan keperluan rumah.
Menurut Yudha, pihaknya mengadakan cabutan bertuah itu bagi menggalakkan penduduk di kawasan tersebut untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 agar dapat mempercepatkan program vaksinasi.
“Saya terima maklumat dari Pejabat Kesihatan Garut bahawa mereka akan mengadakan program vaksinasi Covid-19.
“Jadi hadiah seperti mesin basuh dan lain-lain lagi ditawarkan untuk menggalakkan lebih ramai penduduk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.
Jelas beliau, data dari Pejabat Kesihatan Garut menunjukkan kadar vaksinasi di Garut masih rendah.
Katanya, hanya 190,000 penduduk daripada jumlah 2.6 juta warga Garut tampil menerima suntikan vaksin Covid-19. – AGENSI