CALIFORNIA: Sebuah francais makanan segera McDonald’s di sini terpaksa ditutup selepas kesemua pekerjanya meletak jawatan serentak susulan pertengkaran dengan pengurus restoran tersebut.
Insiden itu dirakam dalam satu video serta dimuat naik dalam Tiktok dan ditonton lebih 2.3 juta pengguna aplikasi tersebut.
Video itu menunjukkan sekeping nota yang bertulis ‘semua orang sudah berhenti dan kami terpaksa tutup operasi’.
Selain itu, dapat dilihat ruang dapur yang kosong dan keadaan sekeliling sunyi sepi tanpa pelanggan beratur membeli makanan di kaunter.
Menurut sumber, kesemua pekerja restoran tersebut berhenti selepas bertengkar dengan pengurus mereka, namun bukan disebabkan isu gaji.
Sebaliknya, mereka tidak berpuas hati dengan suasana kerja yang disifatkan terlalu teruk dan tidak berbaloi.
Selain itu, pihak pengurusan yang bersikap sambil lewa dan enggan membantu jika berlaku masalah turut menjadi punca kesemua pekerja meletak jawatan serentak. – AGENSI