HANOI: Seorang wanita Vietnam sanggup makan sekali sehari dan memakai bengkung hampir seharian suntuk hanya bagi mendapatkan bentuk pinggang yang ramping.
An Ky yang merupakan penari sambilan serta menetap di Amerika Syarikat (AS) mempunyai pinggang berukuran 46 sentimeter dan penampilan unik gadis itu disedari oleh penghibur terkenal Vietnam, Thuy Nga ketika dia mengadakan siri jelajah di AS pada Januari lalu.
Ketika itu, Tuy Nga mengunjungi sebuah kafe di mana An Ky bekerja sebagai pelayan dan melihat gadis tersebut mempunyai bentuk badan yang unik.
Lalu, dia membuat video merakam bentuk badan gadis itu dan bertanyakan beberapa soalan mengenainya.
An Ky memberitahu, dia mula memakai bengkung ketika berusia 18 tahun dan ketika itu berat badannya melebihi 50 kilogram dengan ukuran pinggan lebih 60 sentimeter.
Kini, pada usia 26 tahun, An Ky memiliki pinggan berukuran 46 sentimeter dengan berat badan hanya 37 kilogram.
Katanya, dia hanya makan sekali sehari dan memakai bengkung ketat setiap hari, selain hanya menanggalkannya pada waktu malam.
Gadis itu juga memberitahu dia sering mengamalkan pemakanan sihat bagi mengelakkan dia mempunyai masalah kesihatan.
Satu-satunya masalah yang dia hadapi ialah ketika membeli seluar baharu kerana An Ky perlu mengecilkan saiz seluarnya mengikut ukuran pinggangnya.
Video itu menjadi tular dalam media sosial di Vietnam, baru-baru ini.