NAIROBI: Sekurang-kurangnya 13 orang meninggal dunia dan puluhan cedera selepas sebuah lori tangki yang membawa muatan petrol terbalik lalu meletup dalam satu kejadian di barat Kenya.
Lapor BBC, pada mulanya lori tangki itu bertembung dengan kenderaan lain sehingga menyebabkannya terbalik di lebuh raya antara Kisumu dan Busia pada Sabtu lalu.
Orang ramai di lokasi kejadian kemudian bergegas bersama tong minyak untuk mengambil limpahan petrol bocor daripada lori itu sebelum ia meletup.
Ketua polis tempatan, Charles Chacha berkata, seramai 24 orang cedera parah dengan kesan terbakar dalam kejadian itu.
Katanya, kanak-kanak merupakan antara mangsa yang tercedera.
Pasukan penyiasat masih mencari mangsa di lokasi kejadian dan memaklumkan angka kematian mungkin akan meningkat.
“Kami perlu memeriksa tempat kejadian untuk mencari lebih banyak mangsa,” katanya. – AGENSI