BONN: Dua orang dilaporkan maut manakala lima lagi masih hilang dalam satu letupan yang berlaku di sebuah kilang kimia di barat Jerman.
Operator tapak, Currenta berkata, sekurang-kurangnya 31 orang cedera termasuk seorang parah dalam kejadian di kompleks Chempark di bandar Leverkusen kira-kira pukul 9.40 pagi (waktu tempatan).
Dilaporkan, semua mangsa yang terjejas bekerja di tapak berkenaan.
Terdahulu, Currenta berkata, pasukan penyelamat menemui mayat kedua dalam operasi pencarian.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang masih diteruskan.
“Malangnya, harapan untuk menemukan mangsa yang hidup semakin tipis,” kata Ketua Chempark, Lars Friedrich.
Setakat ini, punca letupan masih belum diketahui.
Letupan kuat didengari sehingga beberapa kilometer dan menyebabkan kepulan asap hitam ke udara.
Aplikasi amaran NINA Jerman menghantar isyarat `bahaya yang melampau’ kepada penduduk, dengan menasihatkan mereka untuk berada di rumah serta menutup pintu dan tingkap.
Letupan itu berlaku di kawasan pelupusan sampah Chempark yang terletak di daerah Buerrig, Leverkusen. – AGENSI