GRAZ, Austria: Seorang lelaki mengalami kecederaan selepas alat sulitnya digigit seekor ular sawa yang bersembunyi di dalam mangkuk tandas di rumahnya di sini kelmarin.
Lelaki warga emas berusia 65 tahun itu digigit kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan ketika pergi ke tandas.
Menurut polis, mangsa digigit sebaik sahaja dia duduk atas mangkuk tandas dan dia terkejut apabila melihat seekor ular sawa berada di dalamnya.
Lelaki itu kemudiannya menghubungi polis dan penangkap haiwan reptilia turut datang ke rumahnya.
Ular sawa itu dipercayai milik jirannya yang terlepas kemudian memasuki tandas rumahnya.
Mangsa seterusnya dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan dan keadaanya stabil.
Sementara itu, jiran lelaki tersebut mendakwa dia tidak menyedari ular peliharannya hilang sehingga polis menemukannya, selain dia bakal didakwa atas kesalahan kecuaian. – AGENSI