JAKARTA: Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan memohon maaf terhadap penduduk di negara ini susulan krisis Covid-19 yang berlaku.
Beliau memohon maaf kerana pelaksanaan sekatan darurat Covid-19 yang diadakan ketika ini tidak berlangsung secara optimum.
“Sebagai penyelaras sekatan darurat Covid-19 bagi Jawa dan Bali, saya seikhlas hati memohon maaf jika pelaksanaan ini belum mencapai tahap menyeluruh.
“Saya bersama barisan kepemimpinan kerajaan Indonesia akan terus berusaha menangani ancaman Covid-19,” katanya.
Namun, permohonan maaf Luhut itu disifatkan ‘sudah terlewat’ kerana situasi jangkitan di Indonesia ketika ini amat kritikal.
Pengarah program hak asasi manusia Indonesia, Mirza Fahmi berkata, tidak salah untuk Luhut mengemukakan permohonan maaf, tetapi perkata itu seharusnya dilakukan sejak awal pandemik Covid-19 melanda negara ini.
“Situasi yang berlaku ketika ini adalah hasil daripada ‘tindakan yang tidak serius’ sejak awal pandemik.
“Jika semua perkara dipandang serius, termasuk melaksanakan sekatan darurat dengan lebih cepat, mungkin Indonesia tidak menjadi seperti hari ini, bergelut dengan Covid-19 yang sangat teruk,” ujarnya.
Beliau juga menekankan bahawa kerajaan tidak seharusnya terus berjanji untuk membentuk imuniti kelompok sedangkan akses untuk vaksinasi masih berdepan kesukaran.