NAIROBI: Kenya menerima sebanyak 182,000 dos vaksin AstraZeneca dalam usaha meningkatkan lagi program inokulasi Covid-19 di negara tersebut.
Lapor BBC, bekalan vaksin itu disumbangkan oleh kerajaan Perancis menerusi program COVAX.
COVAX, sebuah inisiatif antarabangsa yang dipimpin oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO), menyediakan bekalan vaksin Covid-19 untuk negara miskin dan berpendapatan
rendah.
Program itu menyaksikan negara kaya menyumbang bekalan vaksin Covid-19 kepada negara berpendapatan rendah dan miskin.
“Kerajaan Kenya mengucapkan terima kasih kepada Perancis atas sumbangan murni yang akan menyokong vaksinasi Covid-19 negara kami,” kata Pengerusi Pasukan Petugas Vaksin Nasional, Dr. Willis Akhwale.
Hampir setengah juta penduduk negara itu sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 yang lengkap.
Program vaksinasi Covid-19 yang dilaksanakan di Kenya masih menyasarkan petugas kesihatan, warga emas dan golongan mudah dijangkiti wabak. – AGENSI