JAKARTA: Indonesia menyediakan lebih banyak unit rawatan rapi selepas kes jangkitan Covid-19 di negara ini terus meningkat, selain menunggu sama ada kerajaan mahu melanjutkan atau memperketatkan lagi sekatan yang bakal berakhir hari ini.
Indonesia kini menjadi titik pusat penularan Covid-19 di Asia, menyaksikan hospital semakin sesak dan jumlah kematian juga meningkat.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Pandjaitan dalam kenyataan berkata, jumlah kematian akibat Covid-19 yang terus meningkat di negara ini disebabkan oleh beberapa faktor.
Katanya, antara faktor tersebut termasuk kapasiti hospital yang semakin sesak, mati ketika kuarantin kendiri di rumah dan keadaan pesakit yang nazak ketika tiba di hospital.
“Kapasiti unit rawatan rapi akan ditambah di beberapa kawasan yang merekoskan jumlah kematian tertinggi,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Indonesia merekodkan sebanyak 1,566 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 82,000.
Kes jangkitan pula berjumlah 3.1 juta, selain kurang tujuh peratus daripada jumlah populasi negara ini yang sudah menerima vaksinasi lengkap. – REUTERS