JAKARTA: Indonesia mula mengimport bekalan oksigen dari Singapura dan meminta bantuan daripada beberapa negara lain termasuk China ketika negara ini bergelut dengan gelombang Covid-19 yang kritikal.
Kira-kira 10,000 konsentrator oksigen dihantar ke Indonesia dan setengah daripadanya sudah tiba di negara ini awal pagi semalam.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan berkata, Indonesia setakat ini sudah menghubungi Singapura, China dan beberapa negara lain untuk bantuan kecemasan.
“Kami juga akan mengimport bekalan oksigen dari negara lain sekiranya keperluan belum mencukupi,” katanya.
Luhut turut mengarahkan semua bekalan oksigen dihantar ke hospital yang memerlukan dalam kadar segera memandangkan kes jangkitan Covid-19 di negara ini terus memuncak.
Indonesia merekodkan sebanyak 29,745 kes jangkitan baharu dan 558 kematian kelmarin.
Sistem kesihatan negara ini juga boleh lumpuh pada bila-bila masa apabila semakin banyak hospital tidak dapat menampung keperluan pesakit Covid-19 apabila kekurangan katil dan bekalan oksigen.
Lebih puluhan hospital di Surabaya ketika ini penuh dan tidak mampu menampung kemasukan pesakit lagi. – AFP