JAKARTA: Pihak polis memperketatkan sekatan di beberapa jalan raya bagi mengelakkan orang ramai yang nekad pulang ke kampung semasa Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut nanti.
Lapor Tribunnews, pihak polis sudah menambah bilangan sekatan jalan raya di Pulau jawa, Bali hingga Lampung.
Sehingga kini, terdapat 1,038 sekatan jalan raya di seluruh wilayah tersebut.
Sekatan jalan raya itu bagi mengelakkan penyebaran virus Covid-19 di Indonesia.
Ketua Ops Korlantas, Rudy Antariksawan berkata, sekatan jalan raya difokuskan kepada jalan-jalan utama serta jalan bertol.
“Orang ramai dijangka pulang ke kampung untuk bersilaturahmi cukup tinggi sempena Hari Raya Aidiladha, sebab itu kita menambah sekatan jalan raya khususnya di kawasan jalan bertol serta jalan utama,” katanya kepada wartawan.