VANCOUVER: Hampir 90 peratus kediaman di pekan Lytton, British Columbia, Kanada musnah selepas kebakaran hutan yang berlaku merebak ke kawasan penempatan.
Kebakaran itu berlaku susulan gelombang haba yang melanda Kanada dan beberapa bahagian di Amerika Syarikat (AS).
Datuk Bandar Lytton, Jan Polderman sendiri hampir maut apabila rumahnya hangus dijilat api.
“Saya bernasib baik kerana sempat keluar ketika rumah terbakar. Tiada apa lagi yang tinggal di Lytton, semuanya sudah hancur.
“Api di mana-mana sahaja, asap tebal menyelubungi semua kawasan sehinggakan anda tidak mampu melihat atau bernafas,” katanya.
Selain itu, Polderman memberitahu, kebakaran berlaku begitu cepat iaitu dalam tempoh 15 minit.
Katanya, penduduk hanya sempat mengambil kunci kereta dan melarikan diri tanpa peduli dengan keadaan rumah mereka yang musnah terbakar.
Keadaan angin kencang sehingga 71 kilometer sejam juga memburukkan kebakaran yang berlaku.
Sebelum ini, kira-kira 1,000 penduduk di 100 kediaman dipindahkan di barat Kanada susulan kebakaran hutan yang merebak ke kawasan penempatan.
Sebanyak 62 kebakaran dilaporkan berlaku di British Columbia dalam tempoh 24 jam.
Pekan Lytton yang terletak kira-kira 250 kilometer ke timur laut Vancouver merekodkan suhu paling tinggi di seluruh Kanada dengan bacaan 49.6 darjah Celsius.
Menteri Pertahanan Kanada, Harjit Sajjan berkata, tempoh 24 jam yang lepas merupakan saat paling teruk untuk penduduk Lytton.
“Barisan pertahanan negara sudah bersedia untuk menghulurkan segala bantuan kepada penduduk ketika saat sukar ini,” ujarnya.
Setakat ini, pihak berkuasa tidak melaporkan sebarang kes kematian atau kecederaan melibatkan kebakaran tersebut.
Sejak Jumaat sehingga Rabu lalu, sebanyak 486 kematian direkodkan di seluruh British Columbia, berbanding 165 kematian dicatatkan dalam fenomena gelombang haba sebelum ini.
Ketua Koroner British Columbia, Lisa Lapointe memberitahu, kebanyakan yang maut disebabkan oleh strok haba dan tinggal berseorangan.
Sementara itu, kebakaran hutan juga dilaporkan berlaku di California Utara, menyaksikan ratusan anggota bomba dikerah memadamkan api.