SCENE, Kanada: Gelombang haba yang melanda Kanada dan Amerika Syarikat (AS) ketika ini dilaporkan meragut sejumlah nyawa dengan angka itu meningkat dua kali ganda hanya dalam tempoh sejam.
Perkhidmatan Koroner British Columbia memaklumkan, sebanyak 486 kematian berlaku antara Jumaat hingga kelmarin, berbanding 165 pada kebiasaannya.
“Masih terlalu awal untuk kaitkan berapa jumlah kematian dengan gelombang haba yang berlaku sekarang, namun kami tidak menolak kemungkinan peningkatan ini disebabkan oleh keadaan cuaca melampau di British Columbia,” jelas agensi itu dalam kenyataan.
Wilayah utara Kanada berdepan dengan cuaca panas melampau sejak beberapa hari lalu sehingga ada hari merekodkan suhu setinggi 49.5 darjah Celsius di Lytton.
Pakar meteorologi juga memberi amaran bahawa suhu lebih panas dijangka berlaku dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Antara penduduk yang berkabung adalah Tara Moriarty apabila ibu mentuanya meninggal dunia akibat strok haba.
“Situasi ketika ini amat teruk. Ibu mentua saya yang sihat tiba-tiba-tiba meninggal dunia akibat terkena strok haba di British Columbia.
“Strok haba boleh membunuh anda dengan begitu pantas. Sekiranya anda takut untuk pergi ke pusat penyejukan susulan pandemik Covid-19, anda perlu sentiasa memeriksa suhu apabila keadaan menjadi sangat panas,” kata Moriarty dalam Twitternya.
Seorang anggota polis di Vancouver, Steve Addison berkata, mereka tidak berdepan dengan situasi seperti ini dan amat sedih apabila ramai maut akibat gelombang haba.
Semua sekolah di Vancouver ditutup akibat keadaan cuaca ketika ini, selain pasukan bomba akan datang di rumah sekiranya penduduk memerlukan rumah mereka ‘disejukkan’. – AFP