LONDON: Semua sekatan Covid-19 di England akan dilonggarkan bermula 19 Julai ini dan perkara itu dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dalam satu sidang akhbar.
Johnson dijangka mengumumkan mengenai perubahan terhadap peratusan penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan kerja dari rumah.
Beliau dikatakan sedar akan situasi semasa dan menegaskan pandemik Covid-19 tidak akan akan lenyap dalam masa terdekat.
Namun, Johnson yakin dengan kejayaan program vaksinasi di negara ini dan menerusinya, rakyat England akan ‘bebas’.
Kadar jangkitan diramalkan terus bertambah apabila sekatan mula dilaonggarkan, namun barisan menteri yakin jumlah kematian dapat dikurangkan menerusi suntikan vaksin Covid-19.
Terdahulu, ‘hari kebebasan’ yang dijadualkan pada bulan lalu terpaksa dilupakan selepas kerajaan Britain melanjutkan sekatan Covid-19 sehingga 19 Julai ini.
Scotland, Wales dan Ireland Utara akan menguruskan peraturan Covid-19 sendiri dan kerajaan Scotland mencadangkan supaya beberapa sekatan seperti pemakaian pelitup muka dilonggarkan.
Dalam pada itu, pengerusi Persatuan Perubatan Britain, Dr. Chaand Nagpaul menegaskan adalah ‘tidak masuk akal’ untuk menghentikan pemakaian pelitup muka di kawasan ramai kerana kes jangkitan akibat varian Delta terus meningkat.
“Kita tahu pelitup muka berkesan untuk mengurangkan jangkitan dan saya tidak faham kenapa kita tidak perlu pakai lagi pelitup muka ketika kes terus meningkat?,” katanya. – AGENSI