SURFSIDE: Dua mayat kanak-kanak ditemukan di bawah runtuhan kondominium di Florida hari ini, menjadikan jumlah mangsa terkorban dalam insiden itu kini seramai 18 orang.
Sehingga kini, tiada mangsa terselamat yang dibawa keluar dari lokasi kejadian sejak insiden itu berlaku pada Khamis minggu lalu.
Hampir 150 orang lagi hilang dalam runtuhan tersebut.
Keadaan hujan serta beberapa kebakaran kecil dan serpihan bangunan runtuh di tapak runtuhan menyebabkan operasi mencari serta menyelamat berdepan kesukaran.
Pasukan penyelamat memaklumkan mereka bekerja selama 12 jam sehari bagi terus mencari mangsa di bawah runtuhan.
Sementara itu, identiti mayat ke 12 yang ditemukan semalam dikenal pasti sebagai Hilda Noriega berusia 92 tahun.