MEXICO: Seorang gadis berusia 18 tahun diserang buaya ketika mandi di pantai Resort Marriott di Puerto Vallerta.
Lapor Daily Mail, serangan itu menyebabkan mangsa ditarik ke dalam air laut sebanyak dua kali.
Kiana Hummel yang tinggal di kawasan teluk California berkata, dia dan kawannya ingin berenang pada waktu malam semasa buaya itu tiba-tiba melompat keluar dan menyerang kaki kanannnya.
Hummel hampir dapat melepaskan diri daripada gigitan selepas melawan buaya itu sekuat hati.
Namun, buaya itu kembali menyerang kaki kirinya dan menariknya ke dalam air.
Dia berusaha bergelut untuk melepaskan diri daripada buaya itu dan sekumpulan orang datang membantu dirinya.
“Secara jujurnya, saya tidak akan melupakan peristiwa buaya muncul dalam air. Ia merupakan insiden paling gila dan menakutkan saya pernah alami,” luahnya.
Pihak ambulans tiba ke lokasi kejadian 45 minit kemudian dan pihak hospital meminta bayaran ribuan dolar sebelum menerima rawatan.
Doktor berkata, Hummel akan menjalani pembedahan minggu ini di California bagi membaiki kerosakan tisu dan ototnya.