DHAKA: Dua ekor gajah berjaya diselamatkan selepas hampir mati di kawasan pantai di Bangladesh.
Dua gajah itu dipercayai terpisah dari kawanannya di Myanmar sebelum merentasi sungai masuk ke Bangladesh dan dihalau ke kawasan pantai oleh penduduk yang ketakutan.
Dua haiwan itu kemudiannya berenang ke Teluk Bengal dan selepas empat hari, pihak berkuasa berjaya menyelamatkan gajah berkenaan.
Dengan dibantu nelayan tempatan dan menggunakan tali, dua gajah tersebut berkaya dibawa ke pesisir pantai dan diberi makanan sebelum dibawa ke hutan berhampiran.
Pegawai kerajaan tempatan, Fazlul Haque berkata, penduduk setempat berasa takut dengen kehadiran dua gajah tersebut kerana sebelum ini ada kes penduduk maut dipijak haiwan berkenaan.
Dalam pada itu, habitat gajah di kawasan hutan di negara ini terus terancam oleh kegiatan pembalakan, pertanian dan kebakaran.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, proses penghijrahan kawanan gajah terganggu akibat pembangunan banyak kem pelarian etnik Rohingya dari Myanmar.
Sehubungan itu, banyak kes gajah menceroboh kawasan penempatan manusia dilaporkan di negara ini. – AFP