PORT-AU-PRINCE: Pihak berkuasa Haiti menahan seorang doktor yang dipercayai menjadi dalang insiden serangan bersenjata yang mengorbankan presiden negara ini di kediamannya pada 7 Julai lalu.
Suspek yang dikenali sebagai Christian Emmanuel Sanon berusia 63 tahun itu berasal dari negara ini dan menetap di Florida.
Ketua Polis Haiti, Leon Charles berkata, lelaki itu didakwa masuk ke Haiti menggunakan pesawat peribadi pada awal Jun lalu kerana mempunyai ‘motif politik’.
“Apabila polis mula menahan suspek yang terlibat dan melakukan soal siasat, mereka menyebut nama Christian Emmanuel Sanon.
“Sanon juga menghubungi dua lagi individu yang dipercayai menjadi dalang pembunuhan tersebut,” katanya.
Presiden Jovenel Moise, 53, terbunuh selepas 28 anggota kumpulan bersenjata menyerang kediamannya pada awal pagi minggu lalu dan isterinya turut cedera. – AGENSI