BELAWA: Seorang remaja lelaki hampir putus tangan akibat ditetak oleh bakal bapa mentuanya yang menyangka dia adalah perompak.
Lapor Tribunnews, kejadian itu berlaku di Kampung Sappa, Belawa, Sulawesi Selatan semalam.
Ketua Polis Belawa, Idham Abdi Inong berkata, kejadian berlaku apabila Alimuddin Ajis, 51, mengesyaki ada perompak memasuki bilik anak perempuannya di rumah mereka.
Kata Idham, lelaki warga emas itu menyangka anaknya berseorangan di rumah, menyebabkan dia mengesyaki ada pencuri yang memasuki rumahnya.
“Alimuddin kemudiannya mengambil parang dan membuka pintu bilik anaknya lalu menetak tangan lelaki yang ada di dalam bilik berkenaan.
“Selepas itu, Alimuddin baru menyedari bahawa lelaki tersebut adalah teman lelaki anaknya,” katanya.
Sehubungan itu, jiran tetangga yang terkejut dengan kejadian itu terus menghubungi polis dan Alimuddin ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, bakal menantunya sudah mendapatkan rawatan di hospital.
Pemuda itu dan anak perempuan Alimuddin bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.