JAKARTA: Kerajaan Indonesia dilihat sedikit terlewat melaksanakan perintah darurat bagi menangani krisis Covid-19 berbanding negara lain di seluruh dunia.
Malah, keputusan itu hanya dibuat selepas kes jangkitan koronavirus di negara ini terus memuncak pada kadar luar biasa.
Pakar Sosiologi Bencana di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura, Sulfikar Amir berkata, perintah darurat itu seharusnya dilaksanakan dua minggu lebih awal sebelum kes meningkat secara mendadak.
Katanya, langkah awal penting dalam mengelakkan Indonesia terjebak ke fasa jangkitan yang sukar dikawal seperti ketika ini.
Namun, beliau memuji langkah kerajaan yang akhirnya akur untuk melaksanakan perintah berkurung.
“Saya pasti, perintah berkurung yang dilaksanakan kerajaan bermula esok (hari ini) sedikit sebanyak melegakan banyak penduduk yang bimbang dengan peningkatan kes mendadak.
“Walaupun lebih lewat berbanding negara lain, namun perintah darurat ini jelas menunjukkan ketegasan kerajaan mengurangkan kes jangkitan,” katanya kepada Kompas.com.
Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengumumkan perintah darurat bermula 3 hingga 20 Julai ini di Bali dan Jawa.
Perintah darurat yang dilaksanakan menyaksikan lebih banyak sekatan sosial dilakukan termasuk operasi premis perniagaan dikurangkan pada kapasiti tertentu.