GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan ubat dikenali interleukin-6 (IL-6) sebagai rawatan efektif bagi pesakit Covid-19 yang kritikal.
Ia merupakan ubat kedua yang disyorkan sebagai amat berkesan selepas ubat kortikosteroid, dalam melawan wabak tersebut.
Lapor Al Jazeera, WHO memaklumkan ubat itu sangat berkesan apabila digunakan bersama dengan kortikosteroid.
Sebelum ini, WHO mengesyorkan penggunaan kortikosteroid pada September tahun lalu.
“Ubat-ubatan ini memberi harapan kepada pesakit dan keluarga mangsa yang menderita akibat kesan buruk Covid-19 yang teruk dan kritikal,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi kenyataan.
Dilaporkan, pesakit kritikal Covid-19 kerap mengalami tindak balas imun yang berlebihan, justeru IL-6 serta tocilizumab dan sarilumab mampu bertindak mengurangkan reaksi berkenaan.
Menurut WHO, kajian menunjukkan penggunaan ubat tersebut dalam kalangan pesakit kritikal Covid-19 menyebabkan lebih kurang 15 kematian bagi setiap 1,000 orang.
Bagi penggunaan interleukin-6 terhadap pesakit kronik Covid-19 pula menyebabkan lebih kurang 28 kematian bagi setiap 1,000 orang.
Penggunaan ubat-ubatan itu secara tidak langsung mengurangkan risiko kematian dan keperluan ventilator dalam kalangan pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital.
Sementara itu, WHO juga menggesa semua pengeluar untuk mengurangkan harga ubat tersebut dan menerima perjanjian pelesenan yang telus atau mengenepikan hak eksklusif.
“IL-6 tidak dapat diakses dan dicapai oleh sebahagian besar penduduk dunia.
“Pengagihan vaksin yang tidak setara secara tidak langsung menyebabkan penduduk di negara berpendapatan rendah dan sederhana paling terdedah kepada segala risiko Covid-19 teruk.
“Oleh itu, ubat ini amat diperlukan di negara-negara yang tiada akses. Jadi kita harus segera mengubahnya,” katanya. – AGENSI