GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan varian Delta Covid-19 yang pantas merebak dijangka menjadi strain dominan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Varian Delta yang pertama kali ditemukan di India, kini dikesan di 124 negara dan wilayah.
Minggu lalu, varian tersebut dilaporkan di 13 negara baharu.
Menurut WHO, varian Delta sudah merangkumi lebih tiga perempat spesimen penjujukan di kebanyakan negara.
“Ia dijangka menyaingi varian lain dengan lebih pantas dan menjadi dominan dalam beberapa bulan akan datang,” jelas agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi kemas kini epidemiologi mingguan mengenai pandemik Covid-19.
Tiga lagi varian Covid-19 yang diklasifikasikan sebagai varian membimbangkan (VOC) iaitu Alpha, Beta dan Gamma.
Varian Alpha yang pertama kali dikesan di Britain, dilaporkan di 180 negara dan wilayah (meningkat enam berbanding minggu lalu).
Varian Beta yang pertama ditemukan di Afrika Selatan direkodkan di 130 negara dan wilayah (penambahan sebanyak tujuh) manakala Gamma dikesan di Brazil kini berada di 78 negara dan wilayah (peningkatan tiga). – AFP