JAKARTA: Kesemua petugas perubatan di Indonesia yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 keluaran Sinovac kini mula menerima dos tambahan menggunakan vaksin Moderna.
Usaha itu dilakukan bagi meningkatkan tahap imunisasi golongan tersebut selepas 545 doktor di negara ini maut akibat koronavirus.
Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin berkata, seramai lebih 50 pakar perubatan di sekolah perubatan di Universiti Indonesia sudah pun menerima dos tambahan vaksin Moderna.
“Mereka sudah lengkap vaksinasi guna Sinovac, kini mereka terima dos tambahan guna Moderna. Semuanya berjalan lancar,” katanya seperti yang dilapor Arab News.
Sehingga semalam, negara ini merekodkan sebanyak 51,952 kes jangkitan baharu dan 1,092 kematian selepas ‘menggantikan’ India sebagai pusat penularan bahari di rantau Asia.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Pandjaitan memberi amaran jumlah kes jangkitan akan terus meningkat dan kerajaan sudah pun bersedia berdepan dengan sebarang situasi.
Katanya, kerajaan kini meneliti adakah sekatan yang lebih ketat perlu dilaksanakan memandangkan sekatan darurat Covid-19 yang dilakukan di Jawa dan Bali akan berakhir Selasa ini.
“Jika semua pihak konsisten, termasuk mematuhi protokol kesihatan serta kemudahan rawatan yang mencukupi, keadaan boleh menjadi lebih baik menjelang hujung bulan ini,” ujarnya.