MONROVIA: Kerajaan Liberia menerima gas pemedih mata dan beberapa peralatan anti-rusuhan yang lain bagi membolehkan negara itu melaksanakan sekatan Covid-19.
Bantuan itu diterima ketika pasukan keselamatan Liberia mengenakan larangan terhadap perhimpunan besar-besaran.
Lapor BBC, bekalan itu diterima dari Perancis selepas lawatan Presiden Liberia, George Weah ke Paris baru-baru ini.
Pasukan keselamatan di Liberia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan untuk memerangi penularan Covid-19 di negara itu.
Dilaporkan, penduduk enggan mematuhi pelbagai larangan dan peraturan dikenakan untuk mengekang Covid-19 termasuk perhimpunan besar-besaran.
Malah, orang ramai masih dilihat membanjiri tempat hiburan dan pasar.
Liberia merekodkan peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Baru-baru ini, negara itu turut menerima ribuan alat ujian saringan Covid-19 dari Perancis untuk meningkatkan keupayaan pengesanan wabak tersebut. – AGENSI