BANDAR SERI BEGAWAN: “Kita di Brunei tidak mahu berada dalam kerugian. Kerana itulah, dalam menghadapi wabak, kita dari awal-awal lagi sudah membiasakan diri dengan zikir dan doa”.
Demikian titah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengenai pendekatan Brunei yang menggunakan ‘vaksin ketuhanan’ dalam mengekang penularan Covid-19.
Ini titah baginda, sangat bertepatan, lebih-lebih lagi ditambah dengan kemunculan varian baharu yang menurut pakar lebih pantas merebak dan mudah menular.
Dipetik dari Pelita Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengajak seluruh umat Islam membiasakan diri dengan vaksin ketuhanan yang menjadi tuntutan agama.
“Ia perlu dibuat dengan yakin dan sabar. Mengapa dengan yakin dan sabar? Kerana kalau tidak yakin dan sabar, orang tidak akan melakukannya, walaupun zikir dan doa itu perkara mudah.
“Tetapi Alhamdulillah, Brunei kita adalah ‘Brunei yang benar-benar yakin dan sabar’, kerana itulah sampai sekarang kita masih belum berhenti berzikir dan berdoa,” titah baginda dalam perutusan hari raya Aidiladha di Istana Nurul Iman di sini.
Titah baginda, yakin dan sabar itu adalah pakaian nabi-nabi dan orang soleh dan kerana itulah, Nabi Ibrahim sanggup melaksanakan perintah Allah dalam aspek berkorban.
“Ini adalah tahap tertinggi contoh orang yang yakin dan sabar ketika berdepan ujian,” titah baginda.
Daripada pengamatan dan pengalaman, titah baginda, penggunaan vaksin ketuhanan amat memberangsangkan dengan Brunei, sudah lebih setahun mengalami keajaiban, sifar jangkitan tempatan.
Baginda juga menaruh keyakinan bahawa apa yang berlaku kepada Brunei adalah berpunca daripada keberkatan mendekati Allah.
“Apa sahaja masalah atau musibah, kita tetap akan merujuknya kepada Allah, melalui doa dan zikir memohonkan kelepasan.
“Inilah makanya, rahmat pun turun kepada Brunei, menjadikannya sebuah negara yang selamat,” tambah baginda.
Dalam titahnya Sultan Brunei juga menekankan bahawa khususnya pada zaman pancaroba ini, amalan-amalan beragama sangatlah diperlukan.
“Namun bukan semua orang nampak pendekatan ini. Bagi mereka yang nampak akan beruntung, sementara yang tidak nampak akan kekal dalam kerugian,” titah baginda.