JOHANNESBURG: Kerajaan Afrika Selatan melanjutkan tempoh perintah sekatan Covid-19 yang ketat di negara itu selama 14 hari lagi.
Sekatan itu masih mengekalkan larangan terhadap perhimpunan dan penjualan minuman alkohol serta perintah berkurung dari pukul 9 malam hingga 4 pagi.
Negara itu merekodkan kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 paling teruk di benua Afrika.
Afrika Selatan ketika ini berada dalam gelombang ketiga Covid-19 disebabkan oleh penularan varian Delta.
“Sistem kesihatan di seluruh negara ketika ini berada di bawah tekanan,” kata Presiden Cyril Ramaphosa dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.
Awal bulan ini, Afrika Selatan mencatatkan rekod baharu dengan lebih 26,000 kes harian.
Ramaphosa meletakkan negara pada tahap keempat daripada skala sekatan lima peringkat pada akhir bulan lalu ketika jangkitan kes meningkat.
Beliau juga berjanji untuk meneliti semula sekatan tersebut selepas dua minggu.
Semalam, Ramaphosa berkata, Kabinet memutuskan untuk mengekalkan tahap amaran empat selama 14 hari lagi.
Premis restoran masih dapat beroperasi dengan tertakluk pada protokol kesihatan Covid-19 yang ketat.
Gim juga akan dibenarkan untuk dibuka semula dalam keadaan tertentu.
Tambah Ramaphosa, jawatankuasa penasihat kerajaan juga sedang berusaha untuk menyenaraikan vaksin Sinovac dalam program imunisasi Covid-19 negara. – REUTERS