China bina silo simpan peluru berpandu - Utusan Malaysia

China bina silo simpan peluru berpandu

IMEJ satelit menunjukkan satu daripada tapak pembinaan silo peluru berpandu yang cuba disembunyikan dengan penutup berupa kubah besar. - PLANET/CNS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China dilaporkan mula membina lebih 100 silo untuk menyimpan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) di kawasan gurun berhampiran barat laut bandar Yumen.

Kumpulan penyelidik bagi Program Pencegahan Senjata Nuklear Asia Timur di James Martin Center sudah meneliti sejumlah imej satelit komersial yang dikumpul dan menunjukkan China sudah mula membina beberapa silo untuk tujuan penyimpanan peluru berpandu.

Lapor The Washington Post, imej satelit itu menunjukkan sebanyak 119 tapak pembinaan yang hampir sama dengan kemudahan di tapak pelancaran peluru berpandu balistik China.

Negara ini dipercayai menghasilkan stok senjata nuklear pada kadar yang lebih kecil iaitu antara 250 hingga 350 peluru berpandu berbanding Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.

Kedua-dua negara itu didakwa mempunyai lebih 11,000 senjata nuklear.

Dengan pembinaan silo baharu itu menunjukkan China komited untuk meningkatkan penghasilan senjata nuklearnya.

Namun, China diketahui sebelum ini pernah membina ‘silo palsu’ dan taktik itu pernah digunakan oleh AS dalam Perang Dingin untuk memindahkan ICBM bagi mengelirukan tentera Soviet.

Ketua penyelidik, Jeffrey Lewis berkata, jika kesemua silo yang dilihat dalam imej satelit itu benar, maka secara keseluruhan China akan membina sebanyak 145 silo peluru berpandu.

“Kami percaya China giat mengembangkan kekuatan senjata nuklearnya sebagai persiapan menghadapi sebarang ancaman termasuk serangan dari AS.

“Kesemua silo yang dibina itu bertujuan menyimpan ICBM keluaran China yang dinamakan sebagai DF-41 dan mampu terbang sejauh 14,967 kilometer, sekali gus mampu menyerang AS,” katanya.

Dalam pada itu, tapak pembinaan silo yang dilihat berdasarkan imej satelit dikelompokkan dalam dua jalur besar, meliputi bahagian barat dan barat daya gurun di Yumen.

Setiap tapak silo berjarak kira-kira 3.22 kilometer dengan sebahagian besarnya ‘disembunyikan’ dengan penutup berupa kubah besar.

Kaedah sama juga dilaporkan digunakan di beberapa tapak pembinaan silo lain di seluruh China.

 

AS beri amaran

Pegawai perisik AS di Pentagon sebelum ini sudah memberi amaran mengenai peningkatan keupayaan senjata nuklear tentera China.

Antara yang dipertingkatkan termasuk penghasilan ICBM dan pelancar peluru berpandu mudah alih serta disembunyikan dari satelit.

Selain itu, China juga semakin aktif memperkenalkan kapal selam yang dilengkapi dengan senjata nuklear baharu yang lebih canggih.

 

China komited

China tidak mempunyai niat untuk menandingi jumlah senjata nuklear yang dihasilkan oleh AS, namun negara ini komited mempertingkatkan keupayaan senjatanya sebagai persediaan berdepan dengan sebarang ancaman.

Sebelum ini, China pernah menzahirkan kebimbangan mengenai kredibiliti mereka dalam mempertingkatkan keupayaan senjata nuklear, menyebabkan negara ini ketinggalan dengan AS dan Rusia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya