BEIJING: China sedang membangunkan kenderaan robotik dasar laut menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) yang boleh bersembunyi dan menyerang kapal selam musuh dengan torpedo tanpa perlu dikendalikan oleh manusia.
Lapor Daily Mail, kenderaan dalam air tanpa pemandu (UUV) dibangunkan menerusi beberapa eksperimen yang dilakukan lebih sedekad lalu.
Kenderaan itu juga berjaya menggunakan teknologi AI untuk mengesan model kapal selam palsu dan menyerang dengan torpedo.
Eksperimen yang dilakukan di Selat Taiwan menyaksikan UUV dikerahkan pada 30 kaki atau 9.1 meter di bawah permukaan air.
Kenderaan itu mampu mengenal pasti lokasi kapal selam, mengubah arah, menetapkan sasaran dan menembak model tersebut dengan torpedo tidak bersenjata.
UUV terbabit menggunakan sensor sonar dan kapal untuk mengumpul data yang dianalisis oleh komputer bagi melengkapkan tugasan tersebut.
Eksperimen itu dijelaskan dalam kertas kerja oleh penyelidik dari Universiti Kejuruteraan Harbin pada tahun 2010 dan didedahkan pada minggu lalu.
Menurut kumpulan saintis yang diketuai Profesor Liang Guolong, keperluan peperangan dasar laut pada masa hadapan akan membawa perkembangan baharu untuk kenderaan tanpa pemandu.
Kata Liang, UUV yang dibangunkan sejak 2010, boleh diprogramkan untuk beroperasi secara berkumpulan dan melakukan serangan serentak terhadap satu sasaran. – AGENSI