LONDON: Mengunyah makanan sehingga mengeluarkan bunyi menjadi antara tabiat yang paling dibenci kebanyakan orang.
Tabiat itu menyebabkan dua rakan serumah bergaduh sehingga bertumbuk.
Kejadian tersebut berlaku di Burgess Hill di West Sussex dan polis dikerah ke lokasi bagi meredakan pergaduhan yang berlaku.
Perkara itu didedahkan oleh anggota polis, Darren Taylor menerusi Twitter.
“Dua rakan serumah dilaporkan bergaduh antara satu sama lain kerana seorang daripada mereka mengunyah makanan sehingga mengeluarkan bunyi yang kuat.
“Polis terpaksa dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menyuraikan pergaduhan dan kedua-duanya mengemukakan dakwaan berkaitan mengunyah makanan,” tulis Taylor.
Sindrom sensitif bunyi selektif atau misophonia menyebabkan penghidapnya berdepan dengan tindak balas emosi terhadap beberapa jenis bunyi.
Antara bunyi yang sering menyebabkan tindak balas termasuk bunyi menghidu, duit syiling, anjing menyalak dan mengunyah makanan.