GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan rekod baharu suhu tinggi di benua Antartika iaitu dengan bacaan 18.3 darjah Celsius.
Organisasi Meteorologi Dunia (WMO) PBB memaklumkan, suhu itu direkodkan di stesen penyelidikan Esperanza milik Argentina di Semenanjung Antartika pada 6 Februari 2020.
Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas berkata, Semenanjung Antartika menjadi satu daripada wilayah yang berdepan dengan pemanasan global paling tinggi di dunia iaitu peningkatan hampir 3 darjah Celsius dalam tempoh lebih 50 tahun.
“Rekod suhu baharu ini konsisten dengan perubahan iklim yang kita pantau ketika ini.
“Pengesahan rekod baharu ini membantu pelbagai pihak mendapat gambaran mengenai cuaca dan iklim pada masa akan datang di Antartika,” katanya.
WMO sebelum ini menolak bacaan suhu setinggi 20.7 darjah Celsius yang dilaporkan pada 9 Februari tahun lalu di stesen penyelidikan Brazil berhampiran Pulau Seymour.
Rekod suhu tinggi yang pernah disahkan di benua Antartika sebelum ini adalah 17.5 darjah Celsius yang dicatatkan di Esperanza pada 24 Mac 2015.
Suhu di permukaan Bumi direkodkan meningkat 1 darjah Celsius sejak abad ke-19, cukup untuk meningkatkan kadar kemarau, gelombang haba dan ribut tropika.
Namun, udara di Antartika dicatatkan dua kali ganda lebih panas, menyaksikan lebih banyak bongkah ais mencair.
Sementara itu, suhu terbaharu tersebut akan dimasukkan ke dalam arkib cuaca dan iklim melampau WMO.
Arkib itu mengandungi rekod suhu tertinggi dan terendah dunia, isipadu hujan, musim kemarau paling lama, kekuatan angin paling maksimum dan panahan petir paling lama. – AFP