AUSTIN: Seekor harimau dari pusat perlindungan hidupan liar di Texas, diisytiharkan oleh Rekod Dunia Guinness sebagai harimau paling tua yang hidup dalam kurungan.
Lapor UPI, harimau yang dikenali Bengali, berusia 25 tahun dan 319 hari.
Menurut Rekod Dunia Guinness, Bengali dibawa ke Tiger Creek Animal Sanctuary yang terletak di Tyler pada 2000.
Sementara itu, pusat perlindungan hidupan liar menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya berasa bangga mempunyai harimau paling tua yang hidup dalam kurungan.
“Kami mengambil berat setiap haiwan yang berada di sini dan menjaga Bengali sihat selama beberapa tahun merupakan pencapaian yang luar biasa,” jelas kenyataan itu.
Tambahnya, pekerja di pusat perlindungan hidupan liar menganggap Bengali sebagai salah satu bahagian penting dalam usaha konservasi harimau.
“Kami berusaha menyediakan persekitaran selamat untuk haiwan yang memerlukan, sambil memulihara spesies terancam.
“Biasanya, harimau hidup dalam kurungan 15 hingga 20 tahun dan hanya kira-kira 12 tahun di hutan.
“Namun, Bengali melepasi jangkaan usia tersebut,” jelas kenyataan itu.
Rekod dicapai Bengali dijangka meningkat apabila pusat perlindungan kehidupan liar itu bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-26 pada 31 Ogos ini. – AGENSI