ARAGUAINA: Seorang penunggang motosikal yang disahkan ‘maut’ dalam satu kemalangan jalan raya di sini rupanya masih hidup.
Petugas media yang membuat liputan di lokasi kemalangan secara tidak sengaja merakam beg plastik yang mengandungi mayat mangsa bergerak dan memaklumkannya kepada polis.
Mangsa yang merupakan lelaki warga emas berusia 71 tahun, Raimundo da Silva terjatuh ketika menunggang motosikal di Araguaina baru-baru ini.
Pasukan paramedik dikejarkan ke lokasi kejadian dan tersilap mengisytiharkan lelaki itu sudah meninggal dunia.
‘Mayat da Silva’ kemudiannya dimasukkan ke dalam beg plastik dan dikawal polis sehingga ketibaan pasukan koroner.
Tidak lama kemudian, petugas media yang membuat liputan menyedari ada benda bergerak pada beg plastik itu dan memaklumkan kepada polis.
Polis membuka beg plastik itu dan mendapati da Silva masih bernafas.
Lelaki warga emas itu diberi bantuan pernafasan selama 10 minit dan dibantu untuk bangun sebelum dibawa ke hospital.