PARIS: Kedutaan Cuba di Paris memaklumkan bangunannya dilempar dengan bom petrol sehingga menyebabkan kerosakan teruk.
Bagaimanapun, kakitangan diplomatik tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Lapor Al Jazeera, Kedutaan Cuba menerusi kenyataan mengutuk serangan terhadap bangunannya di Paris.
Kedutaan itu tidak menyatakan pihak yang bertanggungjawab atas insiden berlaku pada tengah malam Isnin.
Pusat Media Antarabangsa dibawah Kementerian Luar Cuba memaklumkan tiga bom Molotov dilemparkan dengan dua daripadanya terkena pada bangunan kedutaan sehingga menyebabkan kebakaran.
Menurut kenyataan itu, diplomat Cuba berusaha memadamkan kebakaran itu ketika pasukan bomba dan polis tiba di lokasi kejadian.
Polis Perancis masih belum memberi sebarang kenyataan.
Namun, Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguex menuduh Amerika Syarikat ( AS) bertanggungjawab atas insiden tersebut.
“Kerajaan AS perlu bertanggungjawab atas kempen berterusan terhadap negara ini sehingga mengakibatkan serangan demikian,” kata Rodriguex dalam hantaran di Twitter.
Seorang jurucakap Kementerian Luar memaklumkan Perancis mengutuk serangan tersebut.
Tambahnya, satu siasatan sedang dijalankan berhubung insiden berkenaan.
Sejak tiga minggu lalu, kedutaan Cuba di beberapa bandar di seluruh dunia, menjadi tempat demonstrasi iaitu menyokong dan membantah kerajaan Cuba susulan protes besar yang berlaku pada 11 dan 12 Julai lalu.
Tunjuk perasaan tercetus di Cuba berikutan penduduk berasa tidak puas hati dengan krisis ekonomi, kekurangan bekalan makanan dan perubatan, kenaikan harga barangan dan cara pengurusan pandemik Covid-19 di negara itu. – AGENSI