Asal usul Covid-19: WHO cari wanita Itali - Utusan Malaysia

Asal usul Covid-19: WHO cari wanita Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Kumpulan penyelidik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyiasat asal usul Covid-19 kini beralih arah kepada misi mencari seorang pesakit wanita dari Itali.

Wanita berusia 25 tahun itu didakwa mengunjungi sebuah hospital di Milan dan mengadu sakit tekak serta mengalami luka pada kulit pada November 2019, sebulan sebelum kluster Wuhan menggemparkan dunia.

Kajian yang diterbitkan pada Januari tahun lalu mendapati sampel kulit yang diambil dari wanita itu menunjukkan gejala Covid-19 ketika diuji sejak lebih enam bulan lalu.

Keadaan itu secara tidak langsung menunjukkan ada kemungkinan virus Covid-19 sudah menular di China dan tempat lain sebelum kluster Wuhan muncul pada Disember 2019.

Namun, identiti wanita itu sehingga kini tidak dapat dikenal pasti, sekali gus menyukarkan proses untuk mengesan kedudukannya.

Lapor The Wall Street Journal, Hospital Policlinico di Milan dan Universiti Milan memaklumkan mereka tidak mempunyai sebarang maklumat lanjut mengenai wanita itu.

Menyukarkan lagi keadaan, pakar dermatologi yang merawat wanita itu, Dr. Raffaele Gianotti dilaporkan meninggal dunia pada Mac lalu, iaitu beberapa hari sebelum pasukan WHO ingin melakukan kajian lanjut terhadap pesakit berkenaan.

Sebelum ini, para saintis mencari seorang wanita yang dikenali sebagai ‘pesakit Su’ yang dipercayai menjadi pesakit pertama dijangkiti Covid-19 dari sebuah makmal virologi di Wuhan.

Pasukan penyelidik WHO menyatakan, menyiasat kes jangkitan awal boleh membantu mengukuhkan garis masa mengenai bila dan di mana koronavirus bermula.

 

Sampel kulit

Pada 10 November 2019, Dr. Gianotti mengambil sampel kulit dari wanita itu dan ketika pandemik melanda Itali pada awal 2020, pakar perubatan itu meneliti semula data sampel kulit wanita tersebut.

Berdasarkan ujian yang dilakukan, Gianotti yakin wanita itu dijangkiti Covid-19 dan pada Jun 2020 dan ujian darah yang diambil dari wanita itu menunjukkan dia positif koronavirus.

 

Makin tidak berminat

Ketika identiti wanita itu terus menjadi misteri, penulis bersama dalam kajian yang dilakukan oleh Gianotti, Massimo Barberis percaya bahawa kesungguhan pelbagai pihak untuk mencari asal usul Covid-19 semakin pudar.

“Mereka sudah tidak berminat, lebih-lebih lagi kes Covid-19 di Eropah tidak seteruk sebelum ini,” ujarnya.

 

Tolak teori kebocoran makmal

Pada minggu lalu, sekumpulan saintis menerusi sepucuk surat yang diterbitkan dalam Lancet menegaskan dakwaan mereka bahawa Covid-19 bukan dicipta dalam makmal dan tidak berlaku sebarang kebocoran sumber.

Kumpulan saintis itu menyatakan, teori tersebut hanya mencetuskan ketakutan dan prejudis dalam kalangan pelbagai pihak, terutamanya mereka yang ‘bersengketa’ dengan China.

Para saintis itu mendakwa, teori itu tidak membantu langsung usaha pelbagai pihak untuk mencari dari mana asalnya Covid-19. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya