WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara sekutunya menuduh China melakukan serangan siber di peringkat global.
AS bersama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Kesatuan Eropah (EU), Britain, Australia, Jepun, New Zealand dan Kanada mengutuk tindakan itu.
Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken menyifatkan serangan itu bakal menimbulkan ancaman besar terhadap ekonomi dan keselamatan negara.
Serentak dengan itu, Jabatan Keadilan AS mendakwa empat warga China iaitu tiga pegawai keselamatan dan seorang penggodam yang menyasarkan puluhan syarikat, universiti dan agensi kerajaan di negara tersebut.
Sebelum ini, Presiden AS, Joe Biden dalam satu majlis memaklumkan kerajaan China mungkin tidak melakukan perkara itu dengan sendiri namun melindungi pihak yang berbuat demikian.
Dalam satu kenyataan, Washington dan sekutu rapat seperti United Kingdom (UK) dan Kanada menuduh China bertanggungjawab atas serangan siber itu namun negara lain pula mengambil pendekatan yang
lebih berhati-hati.
NATO hanya menyatakan pemimpin negaranya mengakui tuduhan dilemparkan oleh AS, Kanada, UK terhadap Beijing.
EU pula menggesa pegawai China untuk mengekang kegiatan siber berniat jahat yang dilakukan dari negaranya.
Dalam pada itu, jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu menyifatkan tuduhan dilemparkan terhadap Beijing sebagai tindakan tidak bertanggungjawab. – REUTERS