WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan memulangkan semula kira-kira 17,000 barangan antik Iraq berusia sehingga 4,000 tahun yang dicuri sejak beberapa dekad lalu.
Lapor Al Jazeera, Menteri Kebudayaan Iraq, Hassan Nazim mengesahkan perkara tersebut.
Pengumuman itu dibuat selepas Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhimi mengadakan pertemuan dengan Presiden AS, Joe Biden di Washington baru-baru ini.
Menurut Hassan, Mustafa akan membawa pulang artifak dari Mesopotamia itu menerusi pesawatnya apabila beliau pulang ke tanah air pada Khamis.
“Ini adalah pulangan barang antik paling besar ke Iraq,” katanya.
Sambil memuji, Hassan berkata, keputusan itu merupakan hasil usaha berterusan pihak berkuasa Iraq bersama kedutaan negara di Washington. – AGENSI