WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden meluluskan bantuan kecemasan bernilai AS$100 juta (RM422 juta) bagi memenuhi keperluan mendesak pelarian di Afghanistan.
Biden turut meluluskan bantuan AS$200 juta (RM845 juta) daripada inventori kerajaan AS bagi memenuhi keperluan tersebut.
Menurut White House, AS mula bersiap sedia memproses ribuan permohonan rakyat Afghanistan bagi Visa Pendatang Khas (SIV) yang berisiko menerima ancaman serangan balas dari Taliban kerana mereka pernah bekerja untuk AS.
Kumpulan pertama dan ahli keluarga mereka dijangka diterbangkan sebelum akhir bulan ini ke Fort Leem iaitu sebuah pangkalan tentera AS di Virginia bagi menunggu proses akhir permohonan visa.
Kira-kira 2,500 rakyat Afghanistan dapat dibawa ke fasiliti itu, sekitar 48 kilometer dari selatan Richmond, kata Pentagon.
Pentadbiran Biden sedang meninjau kemudahan AS lain di luar negara supaya dapat menempatkan pemohon SIV.
Visa SIV disediakan kepada penduduk Afghanistan yang bekerja sebagai penterjemah atau pekerjaan lain untuk kerajaan AS selepas penaklukan negara itu pada 2001.
Khamis lalu, Dewan Perwakilan AS meluluskan undang-undang yang akan memperluaskan jumlah SIV yang dapat diberikan kepada 8,000 orang yang berpotensi memenuhi syarat dalam proses permohonan itu.
Pegawai AS berkata, kira-kira 18,000 permohonan sedang diproses.
Pengunduran tentera AS dari Afghanistan memberi peluang kepada Taliban untuk mengambil alih negara itu.
Wilayah yang ditawan merangkumi bahagian selatan Kandahar dengan tentera Kanada menghabiskan masa paling lama selama 13 tahun misi di negara itu.
AS turut meminta Taliban berunding selepas kumpulan itu memaklumkan tiada perdamaian di Afghanistan sehingga pemerintahan baharu di Kabul dan Presiden, Ashraf Ghani disingkirkan. -AGENSI