AS cuak China bangunkan senjata nuklear - Utusan Malaysia

AS cuak China bangunkan senjata nuklear

KENDERAAN tentera membawa peluru berpandu balistik antara benua DF-5B dipamerkan semasa perarakan ketenteraan sempena ulang tahun ke-70 pemerintahan Parti Komunis China di Dataran Tiananmen, Beijing. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan keupayaan senjata nuklear China selepas laporan terbaharu mendedahkan republik itu sedang membina 110 silo peluru berpandu balistik lagi.

Berdasarkan laporan dikeluarkan oleh Persekutuan Saintis Amerika (AFS), imej satelit menunjukkan China sedang membina beberapa silo baharu berhampiran Hami di bahagian timur wilayah Xinjiang.

Laporan itu didedahkan beberapa minggu selepas China membina kira-kira 120 silo untuk menyimpan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) di kawasan gurun berhampiran barat laut bandar Yumen.

“Ini merupakan kali kedua dalam tempoh dua bulan rakyat mendapat tahu ancaman yang dihadapi dunia dan perbuatan merahsiakannya,” jelas US Strategic Command menerusi ciapan yang dikaitkan dengan artikel New York Times berhubung laporan AFS.

Pada awal bulan ini, Jabatan Negara AS turut menyuarakan kebimbangan berhubung usaha China dalam mempertingkatkan keupayaan senjata nuklearnya.

Agensi kerajaan itu juga menegaskan China sudah menyimpang daripada strategi senjata nuklear asalnya yang berasaskan pencegahan minimum.

Jabatan Negara AS meminta China melaksanakan `langkah-langkah praktikal untuk mengurangkan risiko ketidakstabilan perlumbaan senjata’.

Sementara itu, anggota Kongres dari parti Republikan, Mike Turner memberitahu peningkatan keupayaan senjata nuklear China adalah sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Beliau juga menegaskan tindakan China mengerahkan senjata nuklear adalah untuk mengancam AS dan negara sekutunya.

Katanya, keengganan China untuk berunding mengenai kawalan senjata juga harus dikecam oleh semua negara.

Seorang lagi ahli parti Republikan, Mike Rogers berpandangan, pembangunan senjata nuklear yang dilakukan oleh China menunjukkan AS juga harus segera memodenkan peralatan ketenteraan yang dapat menangkis serangan nuklear.

Pentagon dalam satu laporan dikeluarkan tahun lalu menganggarkan China menyimpan kira-kira 200 senjata nuklear.

Jelas laporan itu, jumlah itu dijangka meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda ketika Beijing meluaskan dan memodenkan senjata nuklearnya.

Menurut penganalisis, AS mempunyai kira-kira 3,800 senjata nuklear.

Berdasarkan data dari Jabatan Negara AS, sebanyak 1,357 senjata nuklear sudah dikerahkan sejak 1 Mac lalu. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya