WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggesa kerajaan tempatan untuk memberi wang tunai AS$100 (RM423) kepada penduduk dalam usaha menggalakkan mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Pendekatan itu merupakan langkah terbaharu Biden untuk meningkatkan kesedaran orang ramai supaya mengambil suntikan vaksin, ketika penularan jangkitan akibat varian Delta terus meningkat, terutamanya melibatkan golongan yang belum divaksin.
Biden turut meminta semua petugas Persekutuan sama ada mengisytiharkan mereka sudah divaksin atau pakai pelitup muka, selain perlu menjalani ujian saringan Covid-19.
Katanya, petugas yang tidak mengisytiharkan status vaksinasi mereka perlu memakai pelitup muka, menjaga jarak sosial dengan rakan sekerja dan menjalani ujian Covid-19 sebanyak satu atau dua kali seminggu.
Jaminan Biden untuk memastikan penduduk negara ini dapat menikmati ‘percutian musim panas’ jauh tersasar apabila kes jangkitan dan kadar kemasukan ke hospital akibat koronavirus terus meningkat.
“Kita masih belum bebas kerana pandemik yang berlaku ketika ini adalah ‘pandemik golongan yang tidak divaksin’.
“Jika anda belum atau tidak mahu disuntik vaksin, anda bukan sahaja beri masalah kepada diri sendiri, tetapi juga kepada keluarga dan orang di sekeliling anda,” katanya.
Biden juga menggesa orang ramai supaya tidak mempolitikkan isu vaksinasi atau pelitup muka.
Hilang sabar
Sementara itu, sikap degil penduduk yang enggan menerima suntikan vaksin mencetuskan kemarahan kepada golongan yang sudah divaksin.
Kebanyakannya menuduh kejahilan sikap golongan tersebut menyebabkan AS masih belum ‘bebas’ Covid-19, malah keadaan semakin teruk dengan penularan varian Delta.
Petugas kesihatan, Alethea Reed, 58, berkata, golongan yang enggan divaksin ini adalah pentingkan diri dan tidak peduli akan orang lain.
Keluhan sama turut disuarakan oleh pekerja sosial klinikal, Anne Hamon, 64.
“Saya berada dalam golongan risiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19. Jika ramai yang enggan menerima suntikan vaksin, siapa yang akan melindungi saya dan mereka yang lain?,” solanya.
Vaksinasi makin perlahan
Setakat ini, hanya 60.2 peratus penduduk dewasa di seluruh AS sudah menerima vaksinasi lengkap dan angka itu jauh lebih rendah berbanding sasaran 85 hingga 90 peratus yang perlu mendapatkan suntikan vaksin.
AS tidak mengalami kekurangan bekalan dos vaksin, namun rakyatnya yang enggan divaksin. – AFP