MIAMI: Seorang anggota bomba yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa runtuhan kondominium Champlain South Towers terkedu dan menangis apabila menemukan mayat anak perempuannya di bawah runtuhan.
Mayat Stella Cattarossi ditemukan Selasa lalu, tujuh hari selepas kondominium itu runtuh, menyaksikan setakat ini 22 orang maut dengan 126 hilang.
Ketika kejadian, Stella dikatakan tidur bersama ibunya, Graciela, namun pihak berkuasa belum menemukan mayat ibunya.
Bapa kanak-kanak perempuan itu, Enrique Arango dari Jabatan Bomba Miami berada di lokasi kejadian ketika mayat anaknya ditemukan.
“Ketika Arango yakin lokasi mayat anaknya sudah semakin hampir ditemukan, dia terdiam sejenak dan berdiri sambil menunggu.
“Kami berjaya membawa keluar mayat anak perempuannya dan memberi dia peluang untuk mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir. Arango juga kelihatan menangis dan tidak mampu berkata apa-apa,” kata Kapten Jabatan Bomba Miami, Ignatius Carroll.
Seorang anggota bomba yang enggan dikenali memberitahu, Arango turut membalut mayat anaknya menggunakan jaketnya dan meletakkan bendera Amerika Syarikat di atasnya.
Stella tinggal di kondominium tersebut bersama keluarganya termasuk ibu, datuk dan nenek serta ibu saudara.
Sehingga kini, ibu, datuk, nenek dan ibu saudaranya masih belum ditemukan dan dipercayai sudah meninggal dunia.