MUMBAI: Bintang Bollywood, Aamir Khan hari ini mengumumkan dia akan bercerai dengan isterinya, Kiran Rao selepas 15 tahun perkahwinan.
Menerusi kenyataan, pasangan itu memaklumkan mereka sudah bersetuju untuk berpisah, namun tetap bersama-sama membesarkan anak mereka, malah tidak menolak untuk bekerjasama pada masa akan datang.
“Dalam tempoh 15 tahun ini, kami berkongsi pelbagai perkara menarik, gembira, sedih dan juga menyakitkan.
“Namun kini, kami ingin mulakan babak kehidupan baharu iaitu bukan lagi pasangan suami isteri, tetapi masih keluarga kepada anak kami,” menurut kenyataan itu.
Aamir dan Kiran bertemu buat pertama kali ketika menjalani penggambaran filem pada 2001 dan mereka berkahwin pada Disember 2005.
Selain itu, pasangan tersebut juga berterima kasih kepada keluarga masing-masing yang banyak memberi sokongan serta kasih sayang terhadap mereka. – AFP