WASHINGTON: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menyatakan sebanyak 99.5 peratus pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di negara ini dalam tempoh enam bulan terakhir adalah golongan yang tidak menerima suntikan vaksin.
Pengarah CDC, dr. Rochelle Walensky berkata, statistik tersebut secara tidak langsung menunjukkan kematian akibat Covid-19 boleh dicegah atau dikurangkan menerusi suntikan vaksin.
Katanya, data awal yang dikumpul dari sejumlah negeri menunjukkan hampir setiap pesakit Covid-19 yang meninggal dunia sejak Januari lalu tidak mengambil suntikan vaksin.
“Statistik ini menunjukkan vaksin sebenarnya berkesan dalam mencegah serta mengurangkan kematian akibat jangkitan Covid-19.
“Rakyat sepatutnya memanfaatkan kemudahan vaksin yang disediakan kerajaan supaya kadar kematian akibat Covid-19 di AS dapat diturunkan dari semasa ke semasa,” katanya seperti yang dilapor Forbes, baru-baru ini.
Walensky menyatakan, kira-kira 1,000 daerah terutamanya di bahagian selata AS merekodkan program vaksinasi yang sedikit iaitu hanya 30 peratus.
Jelas beliau, vaksin Covid-19 membantu mencegah komplikasi jangkitan yang serius, terutamanya ketika varian Delta mula menular di seluruh dunia.
Analisis yang dilakukan oleh Associated Press sebelum ini pula menunjukkan 99.2 peratus dari lebih 18,000 pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada Mei lalu adalah mereka yang tidak divaksin.
Dalam pada itu, ketika banyak tempat mula melonggarkan sekatan Covid-19, kadar vaksinasi di seluruh AS direkodkan perlahan dengan kurang dari setengah penduduk di negara ini sudah menerima suntikan vaksin.
Antara negara yang belum mencapai kadar 50 peratus jumlah penduduk yang sudah divaksin termasuk Mississippi, Louisiana, Wyoming, dan Alabama.
AS bakal bebas Covid-19
Dalam pada itu, Presiden AS, Joe Biden memberi jaminan negara ini sedikit demi sedikit mula kembali kepada keadaan normal selepas jangkitan Covid-19 dapat dikawal.
“245 tahun lalu, kita isytihar kemerdekaan dan kini, kita semakin hampir untuk bebas dari ancaman Covid-19.
“Kita akan terus bersatu melawan koronavirus kerana Covid-19 akan kekal dalam tempoh tertentu,” katanya ketika berucap sempena hari kemerdekaan AS.