75 kanak-kanak terbunuh sejak rampasan kuasa di Myanmar - Utusan Malaysia

75 kanak-kanak terbunuh sejak rampasan kuasa di Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Seramai 75 kanak-kanak terbunuh dan kira-kira 1,000 lagi ditahan di Myanmar sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu.

Jawatankuasa hak asasi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima laporan jumlah itu ketika pergolakan politik berterusan di Myanmar di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Lapor Al Jazeera, Pengerusi jawatankuasa, Mikiko Otani berkata, kanak-kanak di Myanmar terdedah kepada insiden keganasan, tembakan rambang dan penahanan hampir setiap hari.

“Golongan itu berdepan dengan insiden seperti itu malah turut menyaksikan perkara sama yang berlaku kepada ibu bapa dan ahli keluarga mereka,” katanya.

Jawatankuasa itu terdiri daripada 18 panel bebas yang ditugaskan untuk memantau pelaksanaan Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak yang mana Myanmar menandatangani pada tahun 1991.

Jawatankuasa itu turut mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kanak-kanak yang dilakukan oleh junta tentera dan pasukan keselamatan dengan merujuk beberapa mangsa dibunuh di rumah mereka sendiri.

Konflik di Myanmar tercetus sejak junta tentera menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu yang memegang tampuk pemerintahan selama lima tahun.

Hampir setiap hari penduduk Myanmar mengadakan tunjuk perasaan di sekitar jalanan menuntut pengembalian semula demokrasi dan menentang tindakan kekerasan pasukan keselamatan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya