BANGKOK: Kementerian Kesihatan Thailand hari ini memaklumkan lebih 600 petugas perubatan yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 keluaran Sinovac dilaporkan dijangkiti virus tersebut.
Situasi itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa kerajaan Thailand bercadang untuk memberi dos ketiga vaksin Covid-19 bagi menguatkan sistem imunisasi.
Daripada 677,348 petugas perubatan yang menerima dua dos vaksin Sinovac, seramai 618 orang dijangkiti Covid-19 dari April hingga bulan ini.
Selain itu, jangkitan tersebut turut menyebabkan seorang jururawat maut dan seorang lagi kritikal.
Panel pakar mencadangkan supaya dos ketiga diberikan untuk menguatkan sistem imunisasi golongan petugas perubatan yang berisiko tinggi.
Pegawai kanan kesihatan, Sopan Iamsirithawon berkata, dos ketiga itu mungkin melibatkan pemberian vaksin keluaran AstraZeneca atau yang menggunakan teknologi mRNA.
Katanya, cadangan tersebut akan dipertimbangkan oleh kerajaan esok.
Pengumuman itu dibuat ketika negara ini merekodkan 9,418 kes jangkitan baharu hari ini dengan jumlah kes keseluruhan 336,371 dan 2,711 kematian sejak pandemik bermula tahun lalu. – REUTERS