PORT-AU-PRINCE: Sekurang-kurangnya 28 orang didakwa terlibat dalam serangan bersenjata di kediaman peribadi Presiden Haiti, Jovenel Moise sehingga menyebabkan kematian beliau pada kelmarin.
Seramai 26 daripada 28 suspek itu merupakan rakyat Colombia dan dua warga Amerika Syarikat (AS) yang berasal dari Haiti.
Ketua Polis Haiti, Leon Charles berkata, polis sudah menahan 15 suspek warga Colombia dan dua rakyat AS, manakala tiga lagi ditembak mati dan lapan masih diburu.
Katanya, senjata yang digunakan dalam serangan tersebut juga sudah ditemukan dan dirampas.
“Kami akan meluaskan siasatan dan melakukan apa sahaja untuk menjejaki lapan lagi suspek yang masih bebas,” katanya.
Moise maut akibat ditembak pada awal pagi kelmarin, manakala isterinya, Martine cedera dan kini dirawat di sebuah hospital di AS. – AFP