WASHINGTON: Seramai 100 pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan ahli keluarga mereka diserang ‘sindrom Havana’.
Pengarah CIA, William Burns berkata, mangsa terlibat merupakan antara 200 pegawai Amerika Syarikat (AS) yang dilanda sindrom itu termasuk mengalami gejala migrain dan pening kepala.
Katanya, agensinya akan berusaha mengenal pasti punca sindrom tersebut dan pihak yang bertanggungjawab.
Jelasnya, agensi itu juga memendekkan masa dari lapan minggu menjadi dua minggu bagi tempoh menunggu kemasukan ke Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed.
“Ini adalah kewajipan besar buat mana-mana pemimpin untuk menjaga rakyat dan itulah tekad yang saya akan lakukan,” katanya.
Sindrom Havana dengan simptom pening kepala, loya, migrain dan hilang ingatan dilaporkan kali pertama berlaku oleh pihak berkuasa AS di Kedutaan AS di Cuba pada 2016.
Akademi Nasional Sains AS mendapati teori yang munasabah adalah pancaran ‘tenaga terarah’ menyebabkan sindrom itu.
“Ada kemungkinan yang sangat kuat sindrom ini disebabkan secara sengaja dan Rusia bertanggungjawab terhadap masalah itu,” katanya.
Bagaimanapun, pihaknya menantikan hasil dapatan sementara menunggu penyelidikan lebih lanjut.
Moscow menafikan pembabitan berhubung sindrom yang sudah merebak itu. -REUTERS