CAPE TOWN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan membangunkan hab vaksin di Afrika Selatan bagi membolehkan syarikat dari negara miskin dan berpendapatan sederhana mengetahui dan mempunyai lesen menghasilkan vaksin Covid-19.
Menurut WHO, ‘hab pemindahan teknologi’ membolehkan syarikat Afrika memulakan proses menghasilkan vaksin mRNA dalam tempoh sembilan ke 12 bulan.
Teknologi itu diguna pakai dalam penghasilan vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna.
Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus membuat pengumuman itu bagi mempercepatkan akses vaksin ke seluruh Afrika yang menyaksikan kadar jangkitan serta kes kematian hampir mencecah 40 peratus minggu lalu.
“Hari ini (semalam) saya berasa gembira untuk mengumumkan WHO mengadakan perbincangan dengan syarikat dan institusi untuk mewujudkan hab pemindahan teknologi di Afrika Selatan.
“Konsortium melibatkan syarikat Afrigen Biologics & Vaccines yang akan memainkan peranan sebagai hab menghasilkan vaksin mRNA sendiri dan membekalkan latihan kepada pengilang Biovac,” katanya dalam sidang akhbar.
Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa berkata, ia merupakan langkah bersejarah dalam membangunkan teknologi yang menyelamatkan nyawa manusia. -AGENSI