SINGAPURA: Seorang wartawan kelahiran Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat (AS), Ed Yong memenangi Hadiah Pulitzer bagi laporan berita menyeluruh mengenai pandemik Covid-19.
Ed Yong yang kini menetap di Washington, merupakan wartawan di syarikat media, Atlantic.
Berdasarkan laman sesawang Pulitzer, Ed Yong memenangi anugerah berprestij itu bagi siri laporan terperinci mengenai pandemik Covid-19.
Laporan berita yang dihasilkan itu antara lain menampilkan mengenai perkembangan pandemik, cabaran dihadapi negara, kegagalan kerajaan AS dalam menangani wabak selain menyediakan konteks jelas dan mudah untuk cabaran saintifik dan manusia.
Ed Yong menyifatkan pengalamannya menghasilkan laporan berita menyeluruh mengenai pandemik Covid-19 merupakan pencapaian paling memuaskan dan cabaran sukar dalam kehidupan profesionalnya.
“Saya cuba melakukan terbaik dengan memberikan pembaca kami laporan berita yang menyeluruh dan adil mengenai krisis melanda seluruh dunia.
“Saya harap laporan ini sedikit sebanyak membawa impak dan perubahan yang positif,” katanya dalam satu ciapan di Twitter. – CNA