LONDON: Seorang lelaki warga emas berusia 86 tahun mahu berjalan sejauh 1,600 kilometer (km) bagi mengumpulkan dana untuk pusat penjagaan orang sakit North London.
Lapor Daily Mail, setakat ini, datuk kepada 12 cucu itu sudah berjaya mengumpulkan sebanyak 967 pound (RM5,632).
Peter Murray akan berjalan sejauh 32 km setiap hari di sekeliling Barnet, Enfield dan Haringey dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.
“Saya mahu menyumbang kepada masyarakat dan negara. Saya akan berjalan sampai mati.
“Saya mahu mengajar anak dan cucu saya supaya berbuat baik kepada orang lain walaupun mereka tidak berbuat baik kepada anda,” katanya.
Murray memulakan cabaran itu sejak April untuk membantu pusat penjagaan itu kerana mahu mengikut jejak langkah kakaknya memberikan bantuan kepada kedai di kawasan tersebut sejak 30 tahun lalu.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif pusat penjagaan itu, Declan Carroll berkata, Murray adalah sumber inspirasi di kawasan tersebut dan sangat berterima kasih kepadanya.
“Dia melakukan kutipan dana yang sangat menakjubkan sekali gus membolehkan kami berkhidmat sehabis baik bagi menjaga setiap individu sehingga hujung hayat mereka,” ujarnya.